Samakan habuan seks dengan sedekah: Zul Hassan disaran bertaubat

IPOH 25 Sept. — Anggota Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan, yang menyamakan habuan seks dengan sedekah setelah mendakwa dirinya diperangkap oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) melakukan perbuatan itu dengan seorang wanita dari China, disaran supaya bertaubat.

Anggota Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharuddin, yang terkejut dan kesal dengan kenyataan itu berkata, sebagai orang Islam, Zul seharusnya faham dan sedar ungkapan yang digunakan itu secara terang telah memalukan umat Islam.

kenyataan Zul itu biasanya dikeluarkan oleh orang yang jahil tentang hukum agama

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, beliau juga meminta ulama khususnya daripada Pas memberikan nasihat dan mentarbiyyah Zul.

“Janganlah pula selepas ini ulama-ulama Pas mencari dalil dan alasan untuk menutup perkara berkenaan,” katanya.


Zul, seorang anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR), membuat kenyataan itu selepas mengadakan pertemuan dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) untuk meminta jabatan itu menyiasat dan mengambil tindakan terhadap orang tertentu yang kononnya telah memfitnah, menghina dan menganiaya beliau kerana mendakwa dia terlibat dalam skandal seks membabitkan wanita dari China itu.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria sebelum ini berkata bahawa kenyataan Zul itu biasanya dikeluarkan oleh orang yang jahil tentang hukum agama selain merupakan satu tindakan yang cukup bodoh jika kenyataan itu bertujuan mempertahankan diri daripada kesalahan yang telah dilakukan.

Popularity: 52% [?]

Teresa mengaku buat kenyataan bercanggah

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok akhirnya mengaku membuat kenyataan bercanggah mengenai makanan yang dihidangkan kepadanya semasa ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pada 19 September lalu beliau mendakwa makanan itu “sama seperti makanan anjing” tetapi pada 22 September menukarnya kepada “baik sedikit daripada makanan anjing.

“Okey baiklah. Awak mengesan kesilapan saya dengan bantuan rakaman video dan sebagainya, dan saya boleh terima kritikan,” katanya dalam satu forum mengenai ISA anjuran DAP di sini malam tadi.

Komen Exco Kerajaan Selangor itu yang mendakwa Utusan Malaysia memutarbelitkan kenyataannya disiarkan dalam laman blognya hari ini.

Teresa mendakwa “tersilap membuat kenyataan” dengan alasan ketika itu beliau keletihan berikutan jadual yang padat sebaik sahaja dibebaskan daripada tahanan ISA.

Dalam reaksinya berhubung kontroversi ‘makanan anjing’ yang menimbulkan kemarahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Teresa mencela Utusan Malaysia dengan menuduh ia menjadi isu besar “kerana diputarbelitkan oleh Utusan Malaysia untuk memburukkan imejnya.”

Para pembaca Utusan Malaysia mengecam usaha Teresa untuk memfitnah akhbar itu memandangkan kenyataan “sama seperti makanan anjing” tersebut turut disiarkan oleh portal Internet Malaysiakini, akhbar Sin Chew Daily dan stesen televisyen TV3.

Dalam blog yang sama, Teresa mendakwa, sama ada beliau mengatakan makanan di lokap ISA “sama seperti makanan anjing” ataupun “sedikit lebih baik daripada makanan anjing”, maksudnya adalah sama iaitu makanan di lokap ISA itu teruk sekali.

Teresa turut menafikan tuduhan bahawa beliau pernah membuat dakwaan tidak benar di Parlimen berhubung isu wanita China dibogelkan di pusat tahanan polis, sedangkan siasatan mendapati wanita itu ialah wanita Melayu.

“Tengoklah mereka, orang UMNO memang macam ini, saya tidak pernah berkata bahawa wanita berbogel dalam VCD itu adalah wanita warga China,” katanya.

Teresa juga berkata, beliau tidak takut jika disaman oleh Utusan Malaysia. “Samanlah, ISA pun saya sudah pernah masuk, takut apa lagi saman daripada Utusan Malaysia?,” katanya.

Popularity: 45% [?]

DAP dicabar bertindak ke atas Teresa

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mencabar DAP mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang memutarbelitkan kenyataannya sendiri berhubung isu ‘makanan anjing’.

Sebagai parti yang selama ini mendakwa berpegang teguh kepada prinsip integriti, DAP menurut mereka, wajar mengenakan tindakan disiplin terhadap wakil rakyatnya itu.

Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Tajudin Ahmad berkata, Teresa telah mengeluarkan kenyataan bersifat sensasi hingga membawa satu gambaran salah terhadap kerajaan kepada rakyat dan masyarakat antarabangsa.

Baginya, sebagai pemimpin yang kini menyandang jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Teresa telah lari daripada prinsip serta etika yang dilaung-laungkan olehnya dan parti itu selama ini.

”DAP patut bertindak ke atas Teresa. Imej parti itu sendiri telah rosak kerana kenyataan Teresa yang berbohong kepada rakyat.

”Kerajaan Pusat juga perlu mengambil tindakan undang-undang ke atas Teresa kerana kenyataan bohongnya telah mencemarkan nama baik kerajaan berhubung makanan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang ternyata diakuinya sebagai tersilap,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Teresa pada sebuah forum malam tadi akhirnya mengakui yang beliau tersilap berhubung isu makanan anjing setelah terdapat rakaman yang memaparkannya menyebut makanan yang dinikmatinya sewaktu ditahan ‘mungkin sama seperti makanan anjing’.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara itu selama ini menafikan beliau membuat kenyataan itu sebaliknya mengecam Utusan Malaysia kononnya memutar belit kenyataannya bagi memburukkan imejnya.

Sementara itu, Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Abu Bakar berkata, tidak ada sebab mengapa DAP tidak harus bertindak ke atas pemimpin seperti Teresa yang tidak bercakap benar dalam kenyataannya.

Kata beliau, di sinilah akan menguji parti itu sama ada berpegang kukuh kepada prinsip integriti dan ketelusan yang selama ini didakwa mereka sebagai membezakan DAP dengan parti politik lain.

”Sebagai rakyat, kita melihat pemimpin macam Teresa ini harus berundur daripada jawatan anggota Exco kerajaan negeri.

”Kita tidak boleh menerima pemimpin yang memutar belit keadaan hanya untuk kepentingan politik sendiri sehingga menyalahkan pihak lain sebagai tersalah lapor.

”Pemimpin sejati kalau tersilap sekalipun dia akan mengakui kelemahannya bukannya menuding jari,” jelasnya.

Pengerusi Gerakan Graduan Muda Melayu, Khairul Azam Abdul Aziz berkata, isu makanan anjing secara tidak langsung mendedahkan kepada rakyat tentang integriti Teresa yang sebenar.

Kata beliau, Teresa dalam beberapa situasi jelas cuba memanipulasikan keadaan untuk mencari populariti tetapi isu makanan anjing akhirnya menjerat beliau apabila terdapat rakaman membuktikan yang dirinya tersilap.


”Nampaknya macam beliau tidak layak dipercayai untuk memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan kerana jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri terlalu mulia,” ujarnya.

Mengulas perkembangan yang sama, Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Norila Daud berkata, kes Teresa seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak agar tidak sewenang-wenangnya menyalahkan wartawan sebagai salah lapor apabila timbul sesuatu isu.

Katanya, dengan perkembangan teknologi semasa, apa yang dicakapkan boleh dibuktikan melalui rakaman dan atas perkiraan itu pihak wartawan bukannya dengan sesuka hati melaporkan sesuatu perkara.

”Wartawan adalah kelompok profesional, kami berpegang teguh dengan prinsip dan etika.

”Kita bukan jenis mengada-adakan sesuatu yang tidak wujud kerana itu melanggari prinsip profesionalisme wartawan,” tegasnya.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad pula berkata, tindakan tegas wajar dikenakan ke atas Teresa kerana memutar belit kenyataan sehingga wujud salah faham terhadap kerajaan.

”Orang seperti Teresa ini tidak patut kita beri kepercayaan, awal cakap lain, tetapi bila tayangan video menunjukkan kenyataan sebenarnya, barulah dia buat pengakuan tersilap cakap,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri dan anugerah Sri Cemerlang Kelab Perkim Universiti di Masjid Salahuddin Al-Ayubbi di sini hari ini.

Popularity: 46% [?]